Sabtu, 11 Agustus 2012

IMAM BUKHARI




Mengembara untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat kentara walaupun umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000 kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis saja.

Bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring Hadis-hadis yang diterimanya sebelum mengklasifikasikannya sebagai Hadis sahih.
Satu ketika beliau pergi ke rumah seorang perawi Hadis. Beliau melihat orang yang bersangkutan sedang memberi makan kepada binatang ternaknya. Rupa-rupanya dia memberi pasir untuk mengumpan hewan itu supaya mendekatinya.
Melihat perbuatan orang tersebut, terbesik di hati Imam Bukhari, “Kalau orang ini boleh berlaku tidak jujur dengan hewan, dia juga boleh berlaku tidak jujur dengan ilmu.”
Lalu beliau sekadar berjumpa orang itu-tetapi tidak mengambil Hadis daripadanya.
Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima Hadis-hadis yang diragukan perawiannya, Imam Bukhari tidak akan menyebut nyebut keaiban perawi-perawinya, apalagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya mengatakan, “Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan untuk diakui sebagai Hadis yang sahib” atau “Hadis ini tidak dipakai orang.”
Sewaktu kecilnya, Imam Bukhari telah hilang penglihatannya. Ibunya tidak henti-hentinya berdoa kepada Allah agar penglihatan anaknya pulih. Hingga pada satu malam si ibu yang berhati mulia itu telah bermimpi bertemu Nabi Ibrahim a.s.
Dalam mimpinya itu Nabi Ibrahim a.s. berkata, “Wahai ibu, Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu disebabkan doamu yang tulus dan sepenuh hati.”
Keesokan harinya, ketika si ibu bangun dari tidur, beliau amat terkejut dan gembira melihat anaknya Muhammad (nama sebenar Imam Bukhari) pulih penglihatannya.
“Muhammad… kau telah dapat melihat semula?” tanya ibunya.
“Ya, bu, berkat doa ibu,” jawab Imam Bukhari dengan wajah ceria. Berkat doa ibunya juga, Imam Bukhari terbuka hatinya untuk mendalami ilmu terutama ilmu tentang Hadis. Sebagai tanda kesyukuran, si ibu merelakan anaknya berpisah dari nya dan merantau menuntut ilmu.
Imam Bukhari telah menghabiskan sebagian umurnya mengembara ke pelbagai tempat untuk belajar dan mengumpul Hadis untuk dimuatkan di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”.
Pada satu malam Imam Bukhari bangun menyalakan lampu lalu pergi menyucikan diri. Dinginnya malam tidak menggoyahkan niatnya untuk bermunajat pada Tuhan, seolah dia sudah lupa dengannya.
Setelah menunaikan beberapa rakaat sembahyang, dia mengambil waktu menulis dan menyalin kembali Hadis-hadis yang baru diterimanya. Menjelang Subuh, beliau menyambung sembahyangnya sebanyak 13 rakaat lagi.
Pada waktu yang lain pula beliau akan berwudhu dan melakukan sembahyang dua rakaat setiap kali hendak menulis sesebuah Hadis di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”. Bagi beliau, Hadis adalah wahyu Allah juga, maka kepada-Nya beliau mohon pertolongan untuk menyempurnakan kerja mengumpulkan dan menyaring Hadis-hadis yang diwariskan oleh Rasul tercinta.
Beliau juga dikenal sebagai ahli khusyuk. Pernah Imam Bukhari meminta tolong kawan-kawannya membuang sesuatu di belakang badannya yang membuatkan dia rasa tidak enak setelah bersembahyang tadi.
“Masya-Allah, kau disengat lebah,” seru kawan-kawannya dengan nada heran. Di belakang badan Imam Bukhari terdapat tanda-tanda lebam bekas sengatan lebah. Kebiasaannya, orang yang kena sengat sampai begitu tentu akan menjerit dan mungkin jatuh pengsan. Namun, serangan lebah-lebah itu tidak sedikit pun mengganggu sembahyangnya.
Namun tidak ada yang aneh bagi manusia besar seperti Imam Bukhari ini. Sejak ia mula mengangkat takbir yang pertama untuk sembahyang hingga selesai memberi salam tiada ruang di hatinya untuk yang lain selain dan bermunajat dengan Penciptanya Yang Maha Pengasih.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar