Sabtu, 14 November 2009

Memperhatikan Apa yang Telah Dilakukan (Muhasabah Diri)


Allah berfirman :“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklahsetiap diri memperhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuiapa yang kamu kerjakan.”.
[Q.S. Al-Hasyar : 18]

Tafsir Ayat :

Ayat ini menerangkan tentang kewajiban supaya memperhatikan apa yang telah dilakukan. Dikatakan sebagai kewajiban kerana ayat ini dimulakan dengan seruan “Hai orang-orang yang beriman”, seakan-akan Allah berfirman: ”Hai orang-orang yang beriman, Aku sekarang menyerumu, maka dengarlah seruan-Ku dengan keimanan yang ada padamu. Aku menyerumu untuk kebaikan, maka dengarlah apa yang akan Aku sampaikan ini dengan sungguh-sungguh! Dengan keimanan yang ada padamu maka apa yang aku sampaikan ini adalah sebagai kewajiban yang mesti kamu lakukan sebagai orang yang memiliki keimanan kepada-Ku!”.

Dan semakin terasa sebagai suatu kewajiban kerana seruan untuk memperhatikan apa yang telah dilakukan didalam ayat diatas didahului dengan ‘huruf lam’ (???????????? ) yang bermakna perintah. Apabila perintah Allah maka wajib untuk dita’ati. Dan lebih terasa sebagai suatu kewajiban yang sangat penting kerana didahului pula dengan perintah bertakwa kepada Allah. Bertakwa maknanya memelihara diri daripada murka Allah dengan mengikuti setiap apa yang diperintahkan dan menjauhi setiap apa yang dilarang. Berarti, memperhatikan apa yang telah dilakukan adalah sebagai mengikuti apa yang diperintahkan oleh Allah ; ia adalah kewajiban yang tak boleh ditinggalkan.

Di dalam ayat ini Allah menggunakan kata ‘esok’ untuk menerangkan ‘hari akhirat’ supaya orang-orang beriman merasakan bahawa hari akhirat itu sangat dekat dengan hari ini, bahkan tidak ada jarak dengan hari ini, maka apabila tidak bersegera memperhatikan apa yang telah dilakukan pada masa lalu dan tidak memperbaikinya pada hari ini maka akan hilang kesempatan dan akan menyesal selama-lamanya. Dan kata ‘esok’ pula dibuat dalam bentuk ‘nakirah’, iaitu tidak menggunakan ‘alif-lam’ yang bermakna esok yang tidak diketahui keadaannya ; entah menyenangkan entah menyengsarakan, entah menggembira-kan entah menyedihkan. Maka kita hendaknya mempersiapkan diri untuk hari yang tidak diketahui keadaannya itu. Dengan bentuk ‘nakirah’ maka terasalah bahawa hari akhirat itu adalah hari yang dahsyat dan sangat membimbangkan, kerana kita tidak mengetahui bagaimana nasib diri di hari itu.

Kemudian perkatan “memperhatikan” didalam ayat ini memberikan makna bahawa apa yang telah dilakukan tidak cukup dengan disebut dan diketahui sahaja, tetapi mesti mengetahui hakikatnya dengan sempurna; baik atau buruk, halal atau haram, benar atau salah, ikhlas atau riyak, dan lain sebagainya. Perkataan inilah yang membawa makna “muhasabah”.

Perkataan ‘Muhasabah’ berasal daripada bahasa Arab ; yaitu daripada kata ‘hasaba – yahsubu - hisab’ yang bermakna menghitung. Kemudian kata ‘hasaba’ mendapat penambahan alif selepas huruf asli yang pertama sehingga menjadi ‘haasaba – yuhaasibu – muhaasabah’ yang bermakna menjalankan hitungan. Bererti, muhasabah adalah perbuatan yang dijalankan untuk menghitung sesuatu.

Supaya lebih jelas maka akan kita bincangkan perkara muhasabah ini satu persatu sehingga kita mendapat penjelasannya yang lebih terperinci :

Pertama, daripada sisi waktu maka muhasabah boleh dibagikan kepada muhasabah sebelum sesuatu perkara itu dilakukan dan muhasabah sesudah perkara itu dilakukan. Sebelum sesuatu perkara dilakukan maka kita hendaklah memastikan bahawa perkara tersebut adalah lebih baik untuk dilakukan dan selanjutnya memikirkan cara terbaik untuk melakukannya dengan memperhatikan pertimbangan- pertimbangan daripada sisi waktu, tempat dan orang-orang yang terbabit.

Apabila perkara tersebut telah dilakukan maka kita hendaklah menilai tentang pencapaiannya ; apakah telah dilakukan dengan benar, ikhlas, sungguh-sungguh, banyak dan lain sebagainya. Apabila salah, maka dicari kesalahannya supaya tidak salah lagi di masa mendatang. Apabila riyak maka hendaklah ditebus dengan keikhlasan pada masa mendatang. Apabila malas maka hendaklah didorong diri kepada kesungguhan, dan apabila sedikit maka hendaklah dimotivasi diri untuk berbuat lebih banyak lagi, apabila sudah benar, ikhlas, sungguh-sungguh dan banyak maka hendaklah berazam supaya lebih mempertingkatkannya pada masa-masa mendatang. Inilah dua jenis muhasabah yang dilakukan ketika sebelum dan sesudah sesuatu perkara dilakukan.

Kedua, daripada sisi keutamaan maka muhasabah hendaklah dimulakan daripada perkara-perkara yang wajib, setelah itu yang sunat dan yang harus. Atau sebaliknya, dimulakan daripada perkara-perkara yang haram setelah itu makruh dan yang harus. Apakah perkara-perkara yang wajib telah dilakukan dengan kesukaan dan perkara-perkara yang haram telah dijauhi dengan kebencian ? Bagaimana pula dengan yang sunat dan yang makruh ? Apakah yang sunat telah diperbanyakkan dan yang makruh telah ditinggalkan?

Ketiga,
daripada sisi keseimbangan antara jasmani dan rohani, antara diri dan keluarga, antara individu dan masyarakat, antara dunia dan akhirat, antara menerima dan memberi, antara berusaha dan berdoa dan lain sebagainya. Apakah keseimbangan itu telah berhasil dilakukan dan seberapa besar kejayaannya ?

Keempat, daripada keadaan-keadaan tertentu muhasabah hendaklah sentiasa diupayakan sehingga keadaan sesuai dengan keperluan ketika itu, seperti ketika sakit, ketika ahli keluarga ditimpa musibah, ketika Negara dilanda bencana, ketika berada di Tanah Suci, ketika miskin atau kaya, ketika menjadi pelajar atau guru, ketika sebagai anak atau orang tua, ketika sebagai rakyat atau pemimpin, ketika dipuji atau dihina, ketika kuat atau lemah dan lain sebagainya. Apakah bersyukur ketika berada dalam keadaan sangat kita sukai atau tidak ? Apakah bersabar ketika berada dalam keadaan susah atau tidak ? Sejauh mana kesyukuran dan kesabaran itu telah diusahakan ?

Demikianlah beberapa pertanyaan dalam muhasabah yang hendaknya diusahakan sebanyak mungkin untuk dikemukakan kepada diri dan selanjutnya dijawab dengan jujur dan ikhlas. Tujuannya hanya satu, iaitu supaya hari ini lebih baik daripada hari semalam, hari esok lebih baik daripada hari ini, dan kehidupan di akhirat lebih menyenangkan daripada di dunia ini. Semakin cepat melakukan muhasabah maka semakin cepat mengetahui kekurangan dan kelebihan diri; kekurangan akan segera diperbaiki dan kelebihan akan segera dipertingkatkan. Disinilah pentingnya muhasabah dalam beriman dan beramal saleh.

Melambat-lambatkan muhasabah atau tidak mahu memuhasabah diri adalah akhlak yang tercela, kerana mungkin sahaja kematian mendahului kita sebelum sempat bertaubat dan memperbaiki diri. Memuhasabah diri hanya dapat dilakukan ketika di dunia ini, apabila kematian datang menjelang maka Allah yang akan memuhasabah diri kita ; ketika itu tidak ada lagi kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki diri, ketika itu muhasabah daripada Allah untuk mempertanggung-jawabkan semua yang telah dilakukan. Maka Umar bin Khattab R.A berpesan : ”Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab. Bersiap sedialah menghadapi pertanggung-jawaban di hadapan Allah. Sesungguhnya Allah akan memudahkan hisab seseorang di hari Akhirat apabila ia telah menghisab dirinya di dunia”. Rasulullah pula bersabda : ”Orang yang pandai adalah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk hidup selepas mati”.

Di hari Akhirat hisab Allah ke atas manusia ada yang berat dan ada yang ringan ; yang berat keatas orang-orang yang derhaka dan yang ringan keatas orang-orang yang beriman. Tentang hisab yang berat disebutkan di dalam Al-Quran :
Mafhumnya: “Dan berapalah banyaknya (penduduk) negeri yang menderhakai perintah Tuhan mereka dan rasul-rasul-Nya, maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan." [Q.S. Ath-Tholaaq : 8]

Adapun tentang hisab yang ringan disebutkan pula di dalam surah Al-Insyiqooq :
Mafhumnya: ”Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.(6) Adapun orang yang diberikan kitabnya daripada sebelah kanannya,(7) maka dia akan dihisab dengan hisab yang mudah,(8) dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.” [Q.S. Al-Insyiqooq : 6-9]

Maka sebelum hisab di akhirat dijalankan ke atas diri kita, sepatutnya di dunia ini hisab tersebut telah dijalankan terlebih dahulu supaya mudah di kemudian hari. Di dunia ini kita sendiri yang akan menjalankannya untuk diri kita. Maka, muhasabah-lah diri (hisablah diri) pada pergantian tahun, pada pergantian bulan, pada pergantian minggu, bahkan pada pergantian hari. Beberapa menit sebelum tidur adalah waktu yang sangat sesuai untuk memuhasabah diri.

Apakah hari ini semua perkara wajib telah dilakukan ?
Apakah perkara sunat telah banyak dilakukan ?
Apakah semua ibadah telah ikhlas dilakukan ?
Apakah telah dilakukan dengan kekhusyukan dan kesukaan ?
dan lain sebagainya.

Begitu juga daripada sisi usia, sepatutnya semakin berumur semakin banyak memuhasabah diri ; diri ini semakin hari semakin lemah, semakin hari semakin hampir ke dalam tanah. Apabila badan telah tergolek di liang lahad; wajah yang tampan dan cantik tidak ada lagi, kulit yang putih dan bersih tidak ada lagi, gelaran yang tinggi dan mulia tidak ada lagi, harta yang banyak dan melimpah tidak ada lagi, anak yang comel dan berhasil tidak ada lagi, ilmu yang hebat dan mendalam tidak ada lagi, maka mengapa semua itu menyibukkan dan menghabiskan usia kita di dunia ini? Muhasabah diperlukan sebelum terlambat. Apabila muhasabah telah dilakukan maka hendaklah dikerapkan supaya mendapatkan kebaikan dan kemajuan dalam beriman dan beramal saleh.

Kemudian di penghujung ayat sekali lagi Allah memerintahkan orang-orang beriman supaya bertakwa (memelihara diri) dalam setiap perbuatan yang dilakukan kerana Allah pasti mengetahuinya dan akan membalasnya dengan sempurna tanpa meninggalkannya barang sedikit pun. Dua kali perintah bertakwa disebutkan di dalam ayat yang pendek ini membuktikan bahawa memperhatikan apa yang telah dilakukan adalah suatu kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan. Bermakna, memperhatikan apa yang telah dilakukan, memuhasabah diri, adalah kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali.

Dan di penghujung ayat yang ke-18 ini Allah menutupnya dengan ungkapan “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”, maksudnya Allah mencatit setiap apa yang telah kita lakukan, benar atau salah, halal atau haram, besar atau kecil, nampak atau tersembunyi, kesemuanya itu dicatit untuk dibalas. Bererti ayat ini memberikan isyarat bahawa dalam memuhasabah diri mestilah jujur melihat apa yang telah kita lakukan ; apabila baik maka bersyukurlah, apabila buruk maka bertaubatlah. Jangan menipu diri sendiri kerana kita sendiri yang akan menanggung akibatnya.

Ayat berikutnya pula menerangkan tentang larangan Allah untuk tidak mengikuti orang-orang yang melupakan Allah, Allah berfirman :

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik”. [Q.S. Al-Hasyr : 19]

Orang-orang yang melupakan Allah adalah orang-orang yang tidak peduli dengan perintah Allah dan larangan Allah. Mereka tenggelam dalam mengikuti kehendak hawa nafsu sendiri. Bagi mereka tidak ada beza antara halal dan haram, baik dan buruk, benar dan salah. Adapun Allah yang menetapkannya dan yang mewajibkannya untuk diikuti tidak lagi mereka ingat.

Oleh kerana mereka melupakan Allah maka Allah pula melupakan mereka. Allah tidak merahmati mereka dengan kecukupan, Allah tidak memberkahi mereka dengan keistimewaan, Allah tidak melimpahi mereka dengan kebahagiaan, Allah tidak meridhoi mereka dengan perlindungan; tidak di dunia ini dan tidak juga di akhirat nanti. Tinggallah diri dalam keseorangan menjalani hidup yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan.

Di penghujung ayat yang ke-19 ini Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang fasiq ; iaitu orang-orang yang telah keluar daripada kelompok orang-orang yang ta’at kepada Allah. Mereka dibiarkan, lalu tinggallah mereka dalam siksaan yang menyengsarakan, Allah berfirman :

“Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".(124) Berkatalah ia: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?"(125) Allah berfirman: "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan".(126) Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.(127) [Q.S. Thahaa : 124-127]

Ayat yang ke-20 pula menyebutkan bahawa mereka yang bertakwa dengan sentiasa memuhasabah diri pada akhirnya akan mendapatkan keberuntungan dengan dimasukkan kedalam syurga. Adapun mereka yang melupakan Allah kerana lalai dan tidak pernah memperhatikan apa yang telah dilakukan maka pada akhirnya mendapat kerugian dengan dimasukkan kedalam neraka, Allah berfirman :

“Tiada sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah orang-orang yang beruntung”. [Q.S. Al-hasyar : 20]

Jelaslah bahawa kedua kelompok tersebut tidak-lah sama, maka sebagai penutup pembahasan, mari kita tanya diri kita dengan jujur :
di kelompok manakah kita sekarang ini ?,
dan di kelompok manakah kita pada akhirnya nanti?
Semua kita tahu siapa diri kita sebenarnya, semua kita tahu apa yang patut untuk dilakukan ; maka tepuk dada, tanya iman !! Wallahu Al’am.

Disediakan oleh, Al-Faqiir Ilaa Rabbih : Musthafa Umar
http://tafaqquh.com/index.php?option=com_content&view=article&id=52%3Amemperhatikan-apa-yang-telah-dilakukan-muhasabah-diri&catid=35%3Austadz-menjawab-&Itemid=27

Tidak ada komentar:

Posting Komentar